DI PENGHUJUNG CINTA
Labels:
Cerpen Cinta
KARYA:
MOHD KHAIRUL ANWAR BIN MOHD SUBRI
Gerak-gerinya aku perhatikan dari hujung tingkap. Dibukanya perlahan-lahan pintu kereta sambil membetulkan kain bajunya yang terangkat semasa di tempat duduknya. Dicapainya tangan seseorang yang di dalam kereta dan menghadiahkan sedikit kucupan mesra tanda mohon restu menuntut ilmu di sekolah. Aku lihat rambut ikal mayangnya tersikat rapi, menzahirkan penjagaan yang prihatin terhadapnya. Tubuh yang kecil menggalas beg yang sederhana besar, sarat dengan buku-buku, tanda semangar belajar ingin menjadi seorang Perdana Menteri. Langkah kecilnya mula memasuki pagar sekolah, meninggalkan kereta Proton Wira. Nampak penuh bergaya, mungkin pemandunya seorang yang cermat. Tapi, siapakah budak perempuan itu? Budak baharu ke? Ah, peduli ape aku, bukannya ada kaitan pun.
Sesi pengajaran di sekolah berlaku seperti hari-hari biasa. Tiada perubahan. Cuma kebanyakan guru-guru terpaksa meninggalkan kelas kerana terlibat dengan mesyuarat Penyelarasan Kajian Jabatan, maklumlah peperiksaan UPSR semakin dekat. Banyak program diaturkan untuk pelajar, masa pun kian suntuk. Masing-masing sibuk dengan tugasan, itu tak termasuk dengan urusan rumahtangga. Makin pening dibuatnya.
Pagi ini, aku menerima sekeping surat daripada Guru Besar, jadual guru ganti untuk sementara waktu. Kuamatinya dengan penuh teliti. Oh, tidak! Namaku tercatat untuk mengambil alih kelas 2 Hijau. Sekali lagi aku terpaksa berhadapan dengan Bidin, budak yang paling aku benci. Memang banyak menyusahkan aku, bukan nak ikut apa yang aku cakap.
Salamku disambut mesra oleh murid-murid. Orang pertama yang kupandang ialah Bidin. Seperti biasa, dia akan meletakkan dagunya pada meja dan membiarkan mimpi membelainya. Darahku mula menggelegak. Jantungku berdegup kencang.
“Bidin!” jerit aku. “Datang sini kejap.” Bidin datang kepadaku dengan muka yang mengantuk.
“Kenapa kamu suka sangat tidur di dalam kelas? Kamu tahu tak saya penat mengajar kamu. Sampai sekarang kamu tak reti mengeja. Kalau disuruh membaca, geleng kepala. Ayah kamu tak ajar ke?” perasaan marahku mula membara.
Bidin mampu tersengih dengan muka yang hodoh, di hidungnya penuh dengan hingus yang kehijauan. Mulutnya yang sumbing, menampakkan ruang antara bibir dengan hidung, cuba menyinggahkan senyuman pada aku. Mungkin itu kecacatan sejak azali lagi. Hodohnya!
“Pangg!!”. Semuanya kaku, diam melihat aksiku. Bekasan jari-jemariku yang lima jelas kelihatan di pipi Bidin. Matanya mula menitiskan air-air yang jernih. “Apa yang sudah kubuat?” perasaan serba salah menghantui diriku.
“Itulah kamu. Jangan sesekali membangkitkan kemarahan saya. Dah beberapa kali saya cakap tapi kamu degil. Kamu ingat saya ni tunggul kayu?” respon keegoaanku.
Kulepaskan kemarahan pada Bidin. Aku hentak pula tanganku pada meja guru di hadapan kelas. Tiba-tiba dahiku berkerut memberitahu sesuatu. Paku tekan berkarat hinggap di tanganku. Pedih, sakit. Aduh! Mata murid yang asalnya melihat Bidin mengalihkan pula ke arahku. Bidin berhenti menangis dan tertumpu pada tanganku. Setitik demi setitik darahku menitis. Hanya Tuhan sahaja yang tahu penangan paku berkarat. Ahh!
Aku mampu terduduk menahan sakit.
“Cikgu, ambillah sapu tangan ni. Balut luka tu,” suaranya cukup manis. Aku tergamam seketika. Eh, budak perempuan yang aku lihat di pintu pagar sekolah tadi. Perlakuannya cuba menenangkan aku.
“Terima kasih. Lisa Merlinda, nama kamu kan ?,” sapa aku memandangkan namanya jelas di kad nama pada bajunya. Dia hanya menganggukkan kepala dan sempat menghadiahkan senyuman padaku. Tapi aneh… lirikan mata coklat kekuningan dan mukanya yang bujur sirih seiras dengan seseorang yang pernah aku kenali. Tapi mustahil…ah, mungkin khayalan semata-mata.
“Mak, ayah dah balik,” gembiranya Haikal. Itulah rutin harian anak sulungku setiap kali menyambut kepulanganku di pintu rumah. Sekurang-kurangnya keletihan ini terubat dengan menatap wajah anak kesayangan.
Aku sandarkan badan aku yang lemah ini pada kerusi sofa di ruang tamu, mengambil masa untuk rehatkan badan. Luka di tangan aku sorokkan daripada pengetahuan isteriku, bimbang timbulnya kecoh yang membuatkan aku bertambah pening. Fikiranku melayang seketika, melihat luka di tangan dibaluti dengan sapu tangan biru. Aku terbayangkan Lisa Merlinda, menjemput masa silam yang ingin aku lupakan…
“Abang ada belikan sesuatu untuk sayang, bukalah,” tanpa segan silu aku memberikan kotak merah kepada seorang gadis, sopan mengenakan blous labuh berlabucikan permata.
“Cantiknya,” terukir senyuman menampakkan lesung pipit yang menyerlahkan keserian wajahnya. Saat manis ketika aku menghadiahkan gelang tangan kepada Farah Zulaikha sempena hari jadinya yang ke-21. Perkenalan dengannya semasa tahun pertama di Unversiti Oxford , London menjadikan hidup aku lengkap, cukup bermakna. Bagi aku, dialah segala-galanya. Kemana sahaja aku pergi, dia turut bersama. Dialah kawan tatkala aku sendirian menanggung kesedihan dan teman berkongsi suka gembira.
Cinta membuatkan kami lupa akan langit tinggi rendahnya. Aku belai rambutnya yang ikal mayang dan kukucup tangannya yang kuning langsat mengikat janji setia untuk hidup bersama. Tanpa disedari, kami dibawa arus hitam, terlanjur dari landasan yang sebenarnya dan hanya malam itu menyaksikan semuanya. Namun, kebahagiaan itu hanya singgah buat sementara. Mengapa semua ini terjadi kepada insan yang kerdil seperti aku? Farah pergi meninggalkan aku tanpa sebarang sebab. Aku menderita di saat-saat akhir pengajian aku di sana . Sepucuk surat aku terima hanyalah mengundang keperitan di hati..
Assalamualaikum…
Abang, maafkan Farah. Farah terpaksa melakukan semua ini walaupun sukar. Namun, percayalah, Farah tumpahkan kasih-sayang dan kesetiaan kepada abang. Farah pergi membawa bukti cinta kita yang akan lahir melihat dunia, menunggu masa untuk mengetahui segala-galanya..
Salam sayang,
Farah Zulaikha.
“Abang, Ina masak kari ayam tengah hari ini. Nanti kita makan sama-sama ye. Perut tu kena isi, nanti kalau gastrik, saya juga yang susah”. Lamunanku hilang seketika. Nada lembut isteri solehah, mengajak aku menjamah selera. Ina seorang yang prihatin, rajin dan menjadikan aku berasa sungguh bertuah memilikinya. Kadang-kadang kering gusi dibuatnya, kelakar dan menghiburkan.
“Ye la. Abang solat dulu,” aku beredar masuk ke bilik sambil mengesat air mata yang sempat mengalir di pipi, beristighfar mengenangkan kisah yang lalu.
Tanggal 16 Mei sememangnya dinantikan oleh semua guru di Malaysia . Aku menerima banyak hadiah daripada murid-murid tetapi yang paling istimewa adalah kad kuning yang berlukisan ibubapa dengan seorang anak. Cantik dan kretif. Ah, rupa-rupanya daripada Lisa Merlinda. Tapi mengapa lukisannya begitu? Pelik. Tersirat seperti seorang yang dahagakan kasih-sayang. Lisa…
Terik matahari pada petang itu terasa bahangnya hingga ke tulang. Peluh mula membasahi bajuku yang kemerahan. Aku mencucuh kunci untuk menghidupkan kereta, namun perhatianku beralih apabila terlihat Lisa duduk keseorangan di pondok berhadapan pintu pagar sekolah. Kasihan budak kecil ni, mungkin sedang menunggu seseorang datang menjemputnya pulang. Aku mendekatinya dengan seribu persoalan.
“Lisa seorang je? Tengah tunggu mak datang jemput ke?,” soalku untuk mendapatkan kepastian.
“Ya, cikgu. Saya seorang je, tunggu mak cik,” jawabnya spontan. “Mak dah tak ada semasa saya umur tiga tahun lagi.”
Aku terkejut. Terdetik di hati aku rasa kasihan dengan budak kecil yang tabah ke sekolah dengan tiadanya seorang ibu disisi. Aku sepatutnya bersyukur kerana sehingga sekarang aku masih diberi peluang meraih kasih-sayang daripada orang yang tersayang.
“Kenapa?,” aku cuba untuk mencungkil rahsia.
“Kanser,” jawapannya ringkas. Dia cuba mengalihkan pandangan dan menyembunyikan benih jernih yang menghiasi pipinya, tercalit selembar kerinduan.
“Siapa nama mak kamu, Lisa?”.
“Farah Zulaikha binti Amir Irshad ”. Aku mula merasakan dunia ini bagai dilanda tsunami, dahsyatnya meninggalkan kesan.
“Nama penuh kamu?”
“Nur Lisa Merlinda binti Imran Shamsuri”.
Hatiku bagai direntap dan berdegup kencang. Mungkin aku boleh melupakan kesakitan tanganku namun nama seperti itu akan kekal dalam memoriku, umpama teguhnya Taj Mahal, simbolik cinta yang abadi. Aku tidak dapat menahan air mata keinsafan dan membiarkannya mencurahi bumi. Oh, Tuhan! Hadirnya Lisa menjelaskan kesemuanya tetapi mengapa semua ini terjadi? Farah…